Thursday 8 May 2014

43 Pegawai Pengelas Dokumen Rahsia Rasmi Dilantik



KHAMIS, 8 MEI – Seramai 43 orang kakitangan daripada pelbagai Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit di UMS telah mendapat pelantikan sebagai Pegawai Pengelas Dokumen Rahsia Rasmi secara rasminya pada hari ini.

Pelantikan tersebut berlangsung pada satu majlis kursus pegawai pengelas dan penyerahan sijil pelantikan kepada pegawai-pegawai di Galeri Majlis.


Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut berkata pelantikan ini adalah mengikut di bawah Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972 iaitu lantikan adalah pegawai awam dari Bahagian/Jabatan yang bertanggungjawab dalam pengurusan pengelasan maklumat atau dokumen rasmi Kerajaan berupa surat rasmi, maklumat atau bahan mengikut kategori kerahsiaan iaitu ’Rahsia Besar’, ’Rahsia’, ’Sulit’ atau ’Terhad’.

“Pelantikan pegawai pengelas yang dilantik oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh pada hari ini penting bagi memastikan dokumen rasmi terutamanya dokumen terperingkat dilindungi dan diuruskan mengikut prosedur dan tatacara yang betul bagi mengelakkan ketirisan maklumat berlaku.”

“Diharapkan agar Pegawai Pengelas dapat menggalas tugas serta melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Terdahulu, Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd. Said berkata pengendalian kursus pada hari ini adalah sebagai menyahut Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UMS-KRA) yang ke-4 iaitu memperkukuh tadbir urus, kepimpinan dan sistem penyampaian. Jelasnya UMS adalah IPTA ke-6 mengendalikan proses ini, yang sebelum ini telah dikendalikan oleh UiTM, UKM, Unisza, UPM dan USIM.

Kursus pegawai pengelas anjuran Jabatan Pendaftar disampaikan oleh wakil Ketua Pegawai Keselamatan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd. Ismail Awang Mohd. Nordin. –MA–

Sumber & Ehsan Gambar

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

No comments:

Post a Comment