Monday 7 April 2014

Jabatan Pendaftar Pupuk Nilai Integriti Dalam Kalangan Warga Kampus


JUMAAT, 28 MAC – Bahagian Pentadbiran dan Governan Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempergiatkan usaha memupuk budaya integriti dalam kalangan kakitangan universiti.
 
Sehubungan itu, jabatan berkenaan telah menganjurkan satu bengkel Pembangunan Individu dan Organisasi Berintegriti (PIOB) baru-baru ini yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Institut Integriti Malaysia, Harisham Ibrahim.
 
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanan Bulan Integriti UMS, Talib Abdullah Shani, bengkel tersebut bertujuan memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya kakitangan UMS selain memberi pendedahan mengenai peri pentingnya integriti dalam sesebuah organisasi.
 
“Penganjuran program ini dapat membantu kakitangan UMS memahami usaha kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) ke arah membentuk sebuah masyarakat yang kukuh dari segi moral dan etika, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur,” tambahnya lagi.
 
Menurutnya Talib, kerajaan sentiasa memberi pendedahan mengenai PIN bagi membendung jenayah rasuah, masalah sosial dalam kalangan masyarakat dan birokrasi yang kian berleluasa di Malaysia.
 
“Justeru, saya yakin penganjuran bengkel seumpama ini mampu memberi pendedahan serta membudayakan integriti hingga ke akar umbi,”ujarnya. Beliau berucap pada perasmian bengkel tersebut yang berlangsung di Dewan Auditorium Bangunan Sekolah Perubatan UMS.
 
Bengkel itu juga telah memberi kefahaman kepada kakitangan UMS tentang kesalahan-kesalahan kecil yang mampu melanggar etika dan pematuhan kepada surat ‘Aku Janji’ yang telah ditandatangani oleh setiap kakitangan universiti.

- Sumber

- ZMD

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

No comments:

Post a Comment