Tuesday 29 April 2014

UMS Wujud Unit Integriti Bantu Capai Sifar Kes Tatatertib


SELASA, 29 APRIL – Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah telah mengumumkan penubuhan Unit Integriti di UMS semalam.

Jelasnya, unit ini akan memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh dengan pelaksanaan enam fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

“Sepanjang tahun lalu, dua kes atas tindakan kesalahan tatatertib direkodkan dan sehingga April tahun ini satu kes direkodkan. Justeru, inisiatif penubuhan unit ini membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi di kalangan penjawat awam."


“Semoga Unit Integriti ini dapat menyumbang kepada sifar kes tatatertib pada masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan sambutan Bulan Integriti UMS kali ke-4 di Dewan Resital.

Beliau turut menyeru kepada para warga UMS agar berpegang kepada empat sifat sebagai tunjang integriti iaitu benar, amanah, bijaksana dan menyampaikan.

“Saya percaya dua musuh utama integriti iaitu wang (puncanya berlaku rasuah) dan kuasa (puncanya penyalahgunaan kuasa) dapat diatasi dengan berpegang kepada empat amalan tersebut dalam kerja seharian,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik telah menjadi pengisian Sambutan Bulan Integriti UMS yang bermula Mac lalu. Antaranya, pertandingan promosi peringkat JSPIU, pertandingan pidato, ceramah perdana Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi; pertandingan debat dan bengkel pengukuhan integriti kakitangan UMS. -MA-


Sumber.

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

No comments:

Post a Comment