Monday 7 April 2014

Jabatan Pendaftar Raih Pengiktirafan Amalan 5S


SELASA, 25 MAC - Sebagai salah sebuah organisasi penting di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pendaftar sentiasa memastikan kecemerlangan kualiti dan hasil kerja para kakitangannya.

Terbaru, jabatan itu menerima pengiktirafan amalan 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) atas usaha para kakitangannya memastikan susun atur serta kekemasan menjadi amalan seharian mereka.


Berucap ketika majlis perhimpunan bulanan jabatan itu, Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Hj. Mohd. Said mengingkatkan para kakitangan untuk meneruskan amalan 5S agar dapat menjadi contoh kepada J/S/P/I/U lain di UMS.

“Pengiktirafan ini merupakan hasil kejayaan buat anda semua yang sentiasa komited dalam menguruskan perihal universiti,” ujar beliau. Sijil Pengiktirafan Amalan 5S disampaikan oleh Pengarah MPC Sabah, Norizin Ariffin kepada Pendaftar UMS di Galeri Majlis, Bangunan Canselori hari ini.

Pada majlis tersebut, Norizin sempat memberi ceramah ringkas bertajuk ‘Amalan 5S dan Hubung kait dengan Integriti’ yang bertepatan dengan sambutan Bulan Integriti anjuran jabatan itu.

“Amalan 5S adalah selari dengan budaya integriti yang menuntut setiap kakitangan agar sentiasa bersikap ikhlas ketika membantu dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas seharian,” katanya. Jabatan Pendaftar menjadi organisasi ketiga mendapat pengiktirafan tersebut selepas Sekolah Perubatan (SPU) dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Amalan 5S merupakan alat pengurusan persekitaran berkualiti yang dipelopori oleh negara Jepun dengan penumpuan kepada lima langkah tindakan pelaksanaan bermatlamatkan pengurusan amalan kebersihan yang bersistematik iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

- Sumber

ZMD
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselor

No comments:

Post a Comment